Make your own free website on Tripod.com


Sabtu / Ahad, 13 / 14 Mei 2000

‘Bina' kubur palsu untuk memuja minta nombor

Oleh Semah Zulkefli

Batang nisan diperbuat daripada kayu salang berukuran kira-kira dua setengah kaki dari paras tanah dipercayai tempat pemujaan roh.

SERIA, Jumaat - Jabatan Hal Ehwal Ugama Kuala Belait mengesan perbuatan sesat segelintir orang yang sengaja memacak dua batang nisan seolah-olah kubur orang Islam di Simpang G31 Jalan Seria Anduki.

Juracakap jabatan itu berkata kawasan itu tidak pernah menjadi tanah perkuburan orang Islam, tetapi sebaliknya ia adalah kawasan paya yang sudah dikenal pasti sejak 1966 lagi.

Beliau berkata perbuatan meletakkan batu nisan bagi menjadikan kawasan itu seperti kubur orang Islam dipercayai oleh mereka yang terlibat dalam melakukan penyelewengan akidah Islam untuk tujuan seperti pemujaan atau menyembah sesuatu bagi tujuan tertentu.

Jurucakap itu turut mengesahkan bentuk dua batang nisan di kawasan itu lari daripada bentuk asal batu nisan yang digunakan oleh orang Islam.

Sebatang nisan diperbuat daripada kayu salangan batu berbentuk empat persegi kira-kira dua setengah kaki tinggi dari paras tanah, sementara yang satu lagi daripada batu simen dan ditanam bersebelahan.

"Jabatan percaya itu adalah perbuatan untuk tujuan sesat, lebih-lebih lagi kedudukannya yang tersorok," tambahnya sambil berkata acara pemujaan dipercayai bermula antara pukul 8 malam hingga 12 tengah malam.

Menurutnya, jabatan akan mengambil tindakan tegas jika mereka yang terlibat dalam perbuatan itu terdiri daripada orang Islam atau menyerahkan kepada polis untuk bertindak jika yang terlibat bukan orang Islam tetapi mengunakan tempat itu untuk tujuan perjudian.

Tinjaun Media Permata ke kawasan ini mendapati ada beberapa bekas tempat makanan di samping alat-alat lain seperti lilin, kain putih dan kain kuning, sebiji pasu kecil kosong seperti bekas tempat mengasap, daun sirih dan pinang yang masih segar.

Sumber lain pula menyatakan tempat sedemikian, terutama yang di kelilingi oleh pokok 'Kuraya' adalah tempat yang sering diadakan acara memuja roh orang mati kerana kononnya roh suka berlindung di bawah pokok itu.

Mereka memuja roh untuk meminta nombor ekor.


Copyright © 1999 Brunei Press Sdn Bhd. All rights reserved.