Make your own free website on Tripod.com


Sabtu / Ahad, 27 / 28 Mei 2000

Pengantin mungkir diarah bayar $7,000

Oleh Ignatius Stephen
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat - Mahkamah Syariah Brunei hari ini mengarahkan seorang lelaki yang gagal menghadirkan diri pada hari perkahwinannya supaya membayar $7,000 kepada pengantinnya yang marah dan kecewa dengan perbuatannya itu.

Ketua Kadi, Pehin Dato Paduka Haji Awang Salim Haji Besar dalam minggu ini mengarahkan Awangku Zulaini Pengiran Besar, 31, membayar pampasan sejumlah $7,049 kepada Dayang Sri Mas Hardiana Haji Manaf, 27.

Awangku Zulaini yang membiarkan pengantin, keluarganya dan sejumlah besar tetamu menunggu di rumah bapa pengantin di Lumut, juga diarah membayar kos majlis perkahwinan.

Dalam rayuannya, Awangku Zulaini memberitahu Kadi Mahkamah Bandar Seri Begawan yang dia "dipaksa" berkahwin oleh ibu Sri Mas Hardiana.

Awangku Zulaini berkata kerana dia dipaksa maka rancangan perkahwinannya itu adalah batal kerana dia tidak bersetuju.

Bagaimanapun, Kadi mendapati pendirian Awangku Zulaini itu adalah tidak berasas.

Pehin Dato Haji Awang Salim membuat keputusan bahawa kesediaan Awangku Zulaini untuk bertunang dan menandatangan Borang Perkahwinan bersama dengan pemberian berian dan mas kahwin bersama cincin pertunangan adalah mencukupi untuk membuktikan Awangku Zulaini setuju untuk mengahwini Sri Mas Hardiana pada 13 Januari, 1995.

Ekoran ini, Seri Mas Hardiana membuat tuntutan guaman terhadap Awangku Zulaini melalui bapanya, Haji Abdi Manaf Abdullah, 63, di Mahkamah Perantaraan di Bandar Seri Begawan pada 1995. Keputusan dikemukakan terhadap Awangku Zulaini kerana gagal hadir dan diarah membayar $8,000.

Bagaimanapun, Hakim Steven Chong memutuskan bahawa tuntutan itu tidak dapat diteruskan kerana ia di bawah bidang kuasa Mahkamah Kadi dan menasihati Sri Mas Hardiana supaya membawa kes itu ke mahkamah berkenaan.

Sri Mas Hardiana diwakili oleh Peguam Syariah, Awang Mohamad Daud Ismail, manakala Awangku Zulaini tidak diwakili sebarang peguam.


Copyright 1999 Brunei Press Sdn Bhd. All rights reserved.