![]()
Rabu, 24 Mei 2000
Lagi ‘rumah hantu' ditemui
Oleh Saemah Zulkefli
Peninggalan 'rumah hantu' ialah kotak lilin dan lilin serta batang kayu.TUTONG, Selasa - Satu lagi tempat 'memuja roh' untuk mendapatkan nombor ekor dikesan ekoran penemuan pokok kayu ara yang selama ini menjadi rumah 'hantu' yang sebenarnya lebih pintar daripada hantu biasa.
Rumah 'hantu' ini dibina betul-betul di kawasan anak sungai, Sungai Uruf di Jalan Telisai di sini dan yang menariknya, 'hantu' ini pandai mengenal huruf.
Seorang pengawas pembinaan lebuh raya berhampiran Kampung Telisai di sini hari ini menafikan pekerjanya tergali kubur dan menemui tulang manusia seperti di kawasan itu seperti dihebohkan baru-baru ini.
Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Stephen berkata ketika mengorek tanah pertengahan bulan lalu, beberapa pekerjanya menemui dua batang tiang dengan bendera kuning terpacak, di samping beberapa batang lilin dan tempat mengasap kemenyan.
Mereka khuatir yang ditemui itu mungkin kawasan perkuburan lalu melaporkannya kepada pihak berkuasa bagi mendapat pengesahan sebelum meneruskan kerja mereka.
Siasatan mendapati tempat itu bukanlah tapak perkuburan tetapi dipercayai digunakan untuk tujuan pemujaan roh bagi mendapatkan nombor ekor.
Rumah 'hantu' kemudiannya dimusnah tetapi masih ada beberapa kesan menunjukkan tempat itu masih ada 'penghuninya.'
Selama ini, pengguna jalan raya yang terpengaruh dengan cerita seram mendakwa kawasan ini 'ada penunggu' dan 'keras' kerana mereka sering terlihat cahaya atau api dari arah kawasan ini,terutama pada malam Jumaat.
Kemungkinan besar cahaya dan api dari arah itu ialah cahaya lampu kereta dan api lilin 'hantu' yang datang untuk memuja nombor ekor.
Copyright © 1999 Brunei Press Sdn Bhd. All rights reserved.